Sunday 27 February 2011

MASJID MUADZ BIN JABAL

TAJUK:
Sejarah penubuhan dan kegiatan masjid di kariah anda

DISEDIAKAN UNTUK:
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU151

DISEDIAKAN OLEH:
Nurul Azwanie bt Abd Basit
No. matrik: 2010629866
Kumpulan: ASD2Dn

PROGRAM:
Diploma Sains
(AS120)

TAJUK:
Sejarah penubuhan dan kegiatan masjid di kariah anda




ISI KANDUNGAN:

1.       Abstrak
2.       Pendahuluan
3.       Penubuhan masjid
4.       Kegiatan masjid
4.1  Kuliah agama
4.2  Aktiviti HELWA
4.3  Majlis meraikan bakal jemaah Haji dan sumbangan anak yatim
4.4  Aktiviti sambutan Maulidur Rasul
4.5 Agihan bubur lambuk sepanjang bulan Ramadhan
4.6 Ibadat korban sempena Hari Raya Aidil Adha
  5. Masalah masjid dan cara penyelesaiannya
  6. Cadangan dan komen
7.       Penutup
8.       Rujukan

TAJUK:
Penubuhan dan kegiatan masjid di kariah anda


ABSTRAK:
Masjid dibina untuk kemudahan umat Islam seluruhnya untuk beribadat kepada yang Maha Esa. Setiap kawasan perumahan akan dibina sebuah masjid untuk kegunaan umat Islam. Tujuan utama masjid dibina adalah untuk melakukan solat berjemaah. Hukum solat adalah fardu ain dan melakukan solat secara berjemaah adalah fardu kifayah. Selain itu, tujuan lain masjid dibina adalah seperti korban sempena hari raya korban, sambutan Maulidur Rasul, majlis berbuka puasa, ceramah agama dan sebagainya. Oleh itu, orang yang ikhlas memakmurkan masjid atau lebih dikenali sebagai rumah Allah akan mendapat ganjaran yang besar dan mendapat rahmat di dunia dan akhirat. Penduduk setempat akan menjalani kehidupan yang selesa, tenang dan harmoni di samping dapat mengimarahkan masjid.
   
Dalam Al-Quran Surah Al-Jin 18,Allah berfirman;
 “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah.Maka janganlah kamu menyembah seseorang pun di dalamnya disamping (menyembah)Allah.Semata-mata mengharap redha Allah,maka Allah akan memberinya rumah di syurga.”

 PENDAHULUAN

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana limpah kurniaNya dapat saya siapkan tugasan ctu yang diamanahkan oleh ustaz Abd Aziz bin Harjin dengan baiknya. Terima kasih kepada ustaz Abd Aziz kerana telah memberi  bimbingan yang sewajarnya bagi menyiapkan tugasan ini. Terima kasih juga kepada imam masjid yang banyak membantu saya ketika sesi menemubual. Tidak lupa juga kepada ayah saya yang banyak membantu saya dalam menyiapkan tugasan ini. Dengan adanya tugasan ini, saya dapat memperoleh pengetahuan tentang cara-cara menguruskan masjid dengan lebih teratur dan sistematik. Tujuan esei ini ditulis adalah untuk saya perihalkan tentang masjid di kediaman saya. Masjid ini juga diadakan pelbagai kegiatan untuk penduduk setempat. Ini menambahkan lagi semangat ukhuwah antara penduduk. Diharapkan supaya masjid ini akan bertambah mantap dan maju dari segi kemudahan. Oleh itu, ramai pengunjung yang bermusafir akan singgah ke masjid itu untuk berehat dan melaksanakan perintah Allah.

SEJARAH  PENUBUHAN MASJID MUADZ BIN JABAL

 Pembinaan Masjid Muadz bin Jabal (MMBJ) bermula pada tahun 1996 dan mula beroperasi pada tahun 1998. Terletak di Jalan Persiaran Setiawangsa, Taman Setiawangsa, 54200, Kuala Lumpur, tapak masjid ini pada mulanya adalah di bawah pemilikan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan telah dibeli dan diambil alih pemilikan oleh MAIWP. Pembinaan masjid ini telah dibiayai oleh Kerajaan, Island & Peninsular dan orang perseorangan (anak-anak qariah) dan dipantau oleh JKR.
Pada awal pembukaan masjid ini, ianya telah diselenggara dan diuruskan oleh Jawatankuasa Penaja (ahli qariah) sebelum ianya diambilalih oleh Majlis Agama Islam WP (MAIWP) pada tahun 1998. Kos pembinaan anggaran 5 juta Ringgit Malaysia. Warna masjid asalnya biru, ubah kuning dan kembali bertukar biru. Sehingga kini, masjid ini masih belum dirasmikan.
Antara kemudahan yang terdapat di Masjid Muadz Bin Jabal ialah:-

1.     Bilik Air.
Bilik air dimasjid ini terbahagi kepada dua iaitu bilik air untuk para jemaah lelaki dan juga jemaah wanita.Selipar juga disediakan bagi keselesaan dan kebersihan para jemaah .

2.     Ruang Wuduk.
Ruang wuduk juga turut diasingkan antara jemaah lelaki dan juga wanita.Hal ini supaya aurat para jemaah dapat dipelihara.

3.     Bahan Bacaan.
Di masjid ini telah tersedia beberapa Al-Quran, Quran Tafsir, Kitab-kitab, Al-Mathurat dan lain-lain.Bahan bacaan ini disediakan untuk mengisi masa yang terluang oleh para jemaah sementara mahu menunggu waktu solat yang berikutnya masuk.

4.     Peralatan dan Bilik menguruskan jenazah.
Masjid ini turut menyediakan van jenazah, ruang mandi jenazah dan juga pengusung jenazah.

5.     Bilik-bilik Khas.
Di masjid ini terdapat beberapa bilik.Antaranya bilik-bilik imam dan bilik mesyuarat.Bilik-bilik imam ini adalah untuk memudahkan para imam menjalankan tugas mereka dan  bagi memudahkan para jemaah untuk  membuat sebarang  rujukan berkaitan hal-hal agama. Bilik mesyuarat pula kebiasaannya digunakan untuk mengadakan sebarang majlis-majlis sama ada dianjurkan oleh pihak masjid mahupun disewakan kepada pihak luar.

Antara nama senarai jawatankuasa pengurusan  Masjid Muadz Bin Jabal ini ialah:-

Pengerusi:
Tn. Hj. Abdullah bin Mohamed
Timbalan Pengerusi:
Lt Kol Hj Hamdan bin Mohamed Salleh (Bersara)
Setiausaha:
Ustaz Hj Shahrizan bin Hj Daud
Bendahari:
Us. Wan Muhammad Faizuddin bin Indera
Ahli Jawatankuasa:
En. A. Samad bin Saim
Tn. Hj. Abdul Aziz bin Md. Yusof
En. Mohd Ridzwan bin Abd. Kadir
Mej Haji Mohammed Raup bin Haji Atan (Bersara)
En. Mohd Yusoff bin Ishak
En. Othman bin Abdullah
 Helwa:
Pn. Hjh. Hadejah bt Hj Mohd Yusob
Primaja:
Us Wan Muhammad Faizuddin bin Indera

KAKITANGAN MASJID MUADZ BIN JABAL
IMAM:
Ustaz Hj. Shahrizan bin Hj. Daud ( Ketua Imam )
Ustaz Ahmad Khirwan bin Said
Ustaz Hj. Muadzeen bin Ackil ( Imam Ratib )
MUADZIN:
Ustaz Wan Muhammad Faizuddin bin Indera ( Bilal JAWI )
Ustaz Mohd. Sharifuddin bin Mohd. Said ( Bilal Ratib 1 )
Ustaz Atiqullah bin Idris ( Bilal ratib 2 )

Dengan terbinanya masjid yang tersegam indah ini diharapkan semoga ahli jawatankuasa Masjid Muadz Bin Jabal ini dapat memainkan peranan dengan lebih gigih agar mencapai matlamat dalam mengimarahkan syiar Islam.

KEGIATAN MASJID

KURSUS HAJI BERSIRI (17 SIRI) ANJURAN MASJID MUADZ BIN JABAL

Bagi membudayakan tradisi keilmuan dan meningkatkan penghayatan kefahaman Islam kepada masyarakat, dengan kerjasama Tabung Haji Wilayah Persekutuan, telah menganjurkan kuliah agama iaitu kursus haji. Kursus ini bakal diadakan pada 26 Februari 2011 hingga 16 Jun 2011.Program ini akan diadakan pada setiap hari Sabtu dan pada pukul 10 hingga 12 tengah hari. Kursus Haji ini akan disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu  Yang Berbahagia Tuan Haji Ustaz Abu Hassan bin Wahab.Beliau ialah mantan pengurus haji wilayah.  Kursus ini akan diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Muadz Bin Jabal. Walau bagaimanapun, kursus ini berbayar bagi sesiapa yang ingin menyertainya. Bayaran sebanyak RM70 sepanjang kursus ini.

AKTIVITI HELWA

Aktiviti HELWA adalah  Badan yang dibentuk untuk Hal Ehwal Wanita bagi Jemaah Masjid Muadz bin Jabal, Badan ini dipimpin oleh seorang Pengerusi dan AJK yang dilantik.  Tujuan  program ini dijalankan adalah untuk memberi khidmat dan bantuan kepada jemaah-jemaah muslimah, seperti diadakan kelas-kelas pengajian, ceramah agama, khidmat nasihat  dan lain-lain aktiviti untuk muslimah.  Antara aktiviti yang dijalankan adalah termasuk  kuliah mingguan oleh Ustazah Rahmah setiap minggu pertama dan minggu kedua. Kuliah ini diadakan pada waktu selepas solat asar. Kemudian, kelas Al-Quran bahagian tajwid juga diadakan pada setiap hari Selasa dan Khamis. Kelas ini pula dijalankan pada pukul 10 pagi. Di samping itu, kelas Al-Quran bahagian bacaan pula diadakan pada setiap hari Ahad pada pukul 5 petang. Kelas ini biasanya akan dijalankan selepas solat Asar. Selain itu, lawatan ke rumah anak-anak yatim serta tempat-tempat lain juga diadakan oleh HELWA. Akhir sekali aktiviti yang dijalankan oleh HELWA adalah khidmat marhaban.


Majlis Meraikan Bakal Jemaah Haji dan Sumbangan Anak Yatim

Majlis ini telah diadakan bagi meraikan bakal jemaah haji dan memberikan sedikit sumbangan kepada anak-anak yatim. Majlis ini telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Suhaimi diikuti tazkirah haji oleh Ust. Syukri selaku Nazir MBI. Acara telah diteruskan dengan pemberian saguhati kepada bakal jemaah haji dan juga sumbangan kepada anak-anak yatim seramai 66 orang. Pihak MBI juga telah menyediakan sedikit jamuan kepada para hadirin.

AKTIVITI SAMBUTAN MAULIDUR RASUL
  •  CERAMAH PERDANA
Sambutan Maulidur Rasul sangat besar ertinya dalam kita menghayati dan merenung betapa besar jasa dan pengorbanan Rasulullah S.A.W menegakkan kalimah Tauhid serta menyampaikan amanahNya.

Lahirnya Baginda membawa rahmat untuk sekelian alam dan menjadi contoh teladan kepada seluruh umat manusia.  Baginda adalah guru tempat kita merujuk kerana pada diri Baginda terdapat banyak contoh nilai-nilai budi pekerti yang mulia.  Sifat-sifat demikian wajib menjadi ikutan agar kesucian dan kemuliaan Agama Islam akan terus terpelihara.

Sempena sambutan Maulidur Rasul satu ceramah perdana telah diadakan bertempat di Masjid Muadz bin Jabal.  Ceramah yang bertajuk “Teladani Personaliti Nabi Muhammad S.A.W” ini telah dikupas oleh seorang penceramah terkenal iaitu  Ustaz Wan Shohor Bani Leman.

Dalam ceramah tersebut beliau telah mengajak semua lapisan masyarakat agar menjadikan sambutan ini sebagai satu titik permulaan bagi mencetuskan semula kegemilangan umat Islam di seluruh dunia.  Sesungguhnya pada diri Rasulullah S.A.W itu terdapat contoh dan teladan yang sempurna yang harus dijadikan contoh untuk menjadi insan yang baik dan di hormati.  Rasulullah S.A.W juga merupakan model terbaik dalam semua aspek kehidupan dunia mahupun akhirat.

Ceramah ini telah dihadiri kira-kira 700 orang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.



  •  PERARAKAN
Masjid ini juga mengadakan Perarakan Maulidur Rasul  yang setiap tahun disambut dengan meriah. Seramai lebih 1000 orang terdiri daripada penduduk Taman Setiawangsa, kakitangan kerajaan dan swasta, pelajar sekolah dan badan - badan bukan kerajaan, telah menyertai perarakan ini.

Majlis perarakan bermula di pekarangan Masjid Muadz bin Jabal. Setiap kumpulan akan berarak dan akan diiiringi dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Perarakan ini telah berjalan sejauh 3 km mengelilingi kawasan perumahan Taman Setiawangsa.

  • PERTANDINGAN MEWARNA BAGI PERINGKAT   KANAK-KANAK
 Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul telah diadakan.
                                   
Penyertaan amatlah menggalakkan sehingga pihak penganjur mengambil keputusan untuk melanjutkan tarikh tutup. Matlamat pertandingan ini adalah bagi memupuk perasaan sayang kanak-kanak kepada masjid.
Pengadilan telah dilakukan oleh Panel Juri yang dilantik yang diketuai oleh seorang Arkitek Bertauliah iaitu Saudara Ahmad Fauzi Md. Zen dari syarikat Pembinaan Mohamed Nazir Meraslam Sdn Bhd.

AGIHAN BUBUR LAMBUK SEPANJANG BULAN RAMADHAN.

Bulan puasa memang sinonim dengan juadah bubur lambuk.  Malah juadah enak untuk berbuka puasa ini bagaikan satu perkara wajib setiap kali menjelangnya  bulan Ramadhan Al Mubarak.  Justeru bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, sebagaimana lazimnya pihak jawatankuasa Masjid Muadz Bin Jabal telah mengagihkan bubur lambuk secara percuma kepada masyarakat setempat dan juga orang awam.

Program ini telah menjadi aktiviti tahunan masjid sekali gus telah dapat menarik minat orang ramai serta mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan peringkat umur.  Agihan juadah yang mengambil masa antara 1 ½ jam hingga 2 jam untuk disiapkan ini bermula selepas solat Asar dan kebiasannya sebanyak 3 kawah bubur lambuk disediakan .   

Hal ini adalah seperti dalil:
“Barang siapa menjalankan ibadah Puasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan (berpuasa karena Allah semata), maka Allah akan mengampuni dosa-dosa (yang dilakukan) hamba-Nya  di masa lalu (Hadis).


MAJLIS BERBUKA PUASA DI MASJID SEMPENA BULAN RAMADHAN

Kedatangan Ramadhan merupakan satu bulan yang amat dinanti-nantikan oleh mereka yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah. Pada bulan ini segala amalan baik akan dilipatgandakan dan seterusnya memberi peluang untuk kita beramal sebanyak mungkin.  Antara perkara yang dianjurkan oleh Islam dan menjadi amalan dengan kedatangan Ramadhan ini ialah majlis berbuka puasa.

Dalam hal ini, pihak masjid tidak ketinggalan menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid dan surau berhampiran.  Majlis ini adalah salah satu daripada Program Ihya’ Ramadhan yang dirancang khusus bagi mengeratkan hubungan silaturrahim antara penduduk setempat sekaligus dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim. 
Ini sejajar dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Insan, ayat 8:
Maksudnya: “Mereka menjamu makanan (untuk) orang miskin, anak yatim dan orang tawanan dengan penuh sukarela.”

IBADAT KORBAN SEMPENA HARI RAYA AIDIL ADHA

10 Zulhijjah merupakan hari di mana umat Islam di seluruh dunia berkumpul di tanah suci Mekah.  Sebagai hamba yang yang mematuhi dan menuruti perintah Allah s.w.t Nabi Ibrahim a.s. diperintahkan mengorbankan anaknya Ismail lalu digantikan dengan seekor kibas.  Peristiwa itu merupakan satu pengajaran dan sunat muakkad kepada seluruh umat Islam supaya bersedekah sebahagian daripada harta mereka untuk fakir miskin.

Pada Hari raya Aidil Adha yang lepas, masjid Muadz Bin Jabal telah mengadakan ibadah korban.  Sebanyak 10 ekor lembu dikorbankan mengikut bahagian masing-masing.  Penyembelehan ini dilakukan selepas sembahyang sunat Aidil Adha di pekarangan masjid. Penyembelihan ini telah dilakukan oleh penduduk setempat serta ahli jawatankuasa masjid.Daging-daging korban telah dibahagi-bahagikan kepada penduduk setempat.


MASALAH DAN JALAN PENYELESAIAN

Masalah yang dihadapi di Masjid Muadz Bin Jabal  ialah masjid ini sering dimasuki pencuri. Banyak peralatan masjid dicuri antaranya ialah pembesar suara, permaidani, dan tiang lampu. Selain itu, para musafir yang datang beristirehat di masjid itu turut mengotorkan tempat-tempat yang mereka duduk seperti membuang sampah di merata-rata tempat. Hal ini menimbulkan ketidakselesaan bagi para jemaah yang hadir ke masjid ini untuk beribadah.

Oleh itu, pelbagai inisiatif diambil untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Bagi kes kecurian, pihak pengurusan masjid telah mengupah beberapa orang pengawal keselamatan untuk menjaga keamanan di kawasan masjid itu. Bagi kes membuang sampah di merata-rata tempat pula, banyak papan tanda telah dipasang di kawasan masjid itu seperti “JANGAN MEMBUANG SAMPAH DI KAWASAN INI”. Hal ini dapat memberi peringatan kepada orang ramai tentang kebersihan masjid. Oleh itu, masalah-masalah ini dapat diselesaikan dengan cara mudah.


CADANGAN
       
Cadangan saya untuk Masjid Muadz Bin Jabal ialah, memperbanyakkan lagi kemudahan seperti mengadakan kenduri kahwin, membuat katering bagi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. Selain itu, dari segi dakwah pula ialah, menjemput para penceramah yang lebih arif seperti jemputan imam dari Mekah bagi menyampaikan ilmu tentang agama dengan lebih mendalam lagi. Selain itu, pihak masjid juga boleh melakukan  pelbagai aktiviti yang boleh menarik ramai orang daripada pelbagai lapisan umur terutama generasi muda.


PENUTUP

Tuntasnya, sebagai umat Islam kita harus bersatu-padu bagi mempertahankan masjid kita daripada segala ancaman musuh sama ada dari dalam atau luar. Hal ini demikian kerana masjid merupakan rumah Allah dan tempat kita melakukan ibadah dengan tenang dan khusyuk. Oleh itu, kita haruslah memeliharanya dengan baik dan janganlah hanya menghias masjid untuk kelihatan cantik dimata. Selain itu, marilah kita mengimarahkan masjid dengan melakukan amal ibadah yang wajib tidak lupa juga yang sunat.



RUJUKAN
  •        Tn. Hj. Abdul Aziz bin Md. Yusof
  •      En.Abd Basit bin Masdar